Memorandum dan Petisyen Bantahan Ratifikasi ICERD kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Majlis Raja-Raja
MEMORANDUM BANTAHAN RATIFIKASI KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI PENGHAPUSAN SEGALA BENTUK DISKRIMINASI KAUM (ICERD)
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Payung Mahkota Negeri Kedah Darul Aman.
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun Sembah Patik Sekalian Mohon Di Ampun,
Patik rakyat Negeri Kedah Darul Aman sekalian, merafak sembah takzim Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan menyanjung tinggi limpah perkenan Tuanku berhubung isu semasa yang melanda Negara kita Malaysia, terutamanya berhubung dengan hasrat beberapa pihak tertentu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ampun Tuanku,
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy dan Mujahid Yusof Rawa telah mengeluarkan satu kenyataan berat yang mana dinyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Diskrimination (ICERD) bermula pada awal tahun hadapan.
Pada pendapat dan pandangan Patik rakyat Negeri Kedah Darul Aman sekalian, Malaysia sebagai negara berdaulat tidak perlu memeterai ICERD kerana dengan melakukan perkara tersebut, Malaysia harus akur dengan triti tersebut. Ini bermakna sekiranya wujud percanggahan antara undang-undang Malaysia dan undang-undang antarabangsa, impaknya adalah triti iaitu, undang-undang antarabangsa akan terpakai di mahkamah antarabangsa. ICERD boleh digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjadi jalan belakang untuk mengatasi Perlembagaan Malaysia.
Sekiranya konvensyen itu disahkan, maka dengan serta-merta, akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.
Adalah tidak munasabah untuk menandatangani persetujuan ratifikasi ICERD dengan reservasi tersebut. Ini akan menjadi bercanggah dengan semangat konvensyen. Perbuatan tersebut akan memalukan Malaysia di mata antarabangsa kerana menandatangani persetujuan tetapi tidak mempersetujui kandungan-kandungan persetujuan yang di tandatangani.
Ampun Tuanku,
Justeru itu, sebagai rakyat jelata yang berada dibawah naungan dan lindungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik sekalian Rakyat Negeri Kedah Darul Aman ingin menzahirkan rasa bimbang terhadap usaha beberapa pihak tertentu untuk menghapuskan hak Bumiputera dalam perlembagaan Malaysia.
Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas, meliputi “sebarang perbezaan … atau keutamaan berdasarkan bangsa … keturunan … atau asal-usul kebangsaan” (Artikel 1 ICERD). Ini sudah tentu bercanggah dengan intipati utama kontrak sosial seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, (berkenaan kedudukan Istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak), Perkara 160 (berhubung takrif Melayu dan ikatannya dengan Islam) dan Perkara 89 (mengenai tanah rizab Melayu di bawah Enakmen-Enakmen di peringkat Negeri-Negeri).
Sekiranya konvensyen ini dilaksanakan di negara ini, besar kemungkinan beberapa institusi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Rejimen Askar Melayu terpaksa di mansuhkan. Beberapa undang-undang lain yang telah wujud ratusan tahun seperti Enakmen Tanah Rizab Melayu (yang menjadi asas perundangan tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung) juga terpaksa di mansuhkan.
Seterusnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengeluarkan Amanah Saham Bumiputra, Amanah Saham Nasional dan lain khusus untuk Bumiputra akan ditutup atau semua produknya dibuka kepada orang bukan Melayu dan bukan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Jika ICERD disahkan, bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan terhapus, malah hak Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri-Negeri yang mempertahankan dan memastikan ia dilaksanakan, juga akan dihapuskan. Itulah kesannya.
Ampun Tuanku,
Pada arena antarabangsa, pihak kepada ICERD harus mengemukakan laporan dan laporan ini adalah wajib. Satu jawatankuasa bebas akan dibentuk bagi memastikan terma-terma ICERD dipatuhi. Persoalannya, kenapa harus kita sebagai satu Negara Berdaulat meletakkan kita di bawah aturan antarabangsa?
Hak manusia di dunia barat dan pemakaian ideologi mereka adalah berbeza dengan kita. Secara tidak langsung kita telah membuka ruang untuk mereka memberi tekanan ke atas Malaysia untuk menggubal perlembagaan mengikut telunjuk mereka.
Kos yang bakal ditanggung untuk ratifikasi dan juga kos yang bakal ditanggung sepanjang masa untuk mematuhi peruntukkan untuk membekalkan laporan kepada badan jawatankuasa juga adalah tinggi. Laporan yang komprehensif memerlukan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang spesifik, berurusan dengan masyarakat secara umum dan kemungkinan untuk memperoleh data yang jitu. Ini akan melibatkan kos yang tinggi. Setelah itu kos yang lebih tinggi akan ditanggung untuk melantik pegawai-pegawai untuk ke Geneva atau New York untuk berurusan dengan jawatankuasa konvensyen.
Bagi pihak-pihak tertentu ini kuasa adalah segala-galanya sehingga sanggup mengadai keluhuran Perlembagaan dan juga menafikan perjuangan leluhur tanah air ini yang sekian lama diperjuangkan. Wujudnya gerakan secara sulit untuk mengetepikan nilai sejarah dan juga kontrak sosial yang dipersetujui selama lebih setengah abad. Gerakan ini seakan-akan ingin menghakis dan mengubah hala tuju Negara berdaulat ini. Prinsip ‘biar mati anak jangan mati adat’ tidak lagi mereka junjung. Pada mereka, segala upaya mereka hingga ketitisan darah terakhir hanyalah untuk mempertahankan sedikit kuasa yang mereka ada. Mereka ini pada pandangan patik sekalian, tidak pernah mahu menerima ketentuan Qada dan Qadar Allah S.W.T. Bukankah Allah berkuasa memberi dan menarik balik kuasa dan kerajaan yang diberikan sesiapa jua yang Allah kehendaki?
Ampun Tuanku,
Patik rakyat Negeri Kedah Darul Aman sekalian, di bawah Naungan dan lindungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, merafak sembah takzim ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan menyanjung tinggi limpah berkenan Tuanku dan memaklum sembah bahawa Perlembagaan kita telah berjaya untuk mengekalkan perpaduan dan tidak perlu untuk Malaysia memeterai dan/atau meraktifikasi ICERD.
Akan sebab itulah patik sekalian Rakyat Negeri Kedah Darul Aman merafak sembah takzim merayu perlindungan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya Kerajaan Malaysia tidak menuruti kehendak pihak-pihak tertentu untuk mempersetujui ICERD.
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun Sembah Patik Sekalian Mohon Di Ampun, pendek kata, jika ICERD diratifikasikan, kesan dan jangkauannya bakal memberikan kesan buruk kepada pelbagai institusi dan polisi seperti;
i. Raja-Raja bukan lagi Ketua Negara
ii. Jawatan Perdana Menteri boleh disandang oleh semua kaum;
iii. Tidak ada lagi diskaun 10% harga rumah untuk Bumiputra;
iv. Tanah Rizab Melayu akan dihapuskan
v. Askar Melayu Diraja, MARA, UiTM, MRSM, ASB, Biasiswa untuk Bumiputra akan dimansuhkan dan akan diberi penjemanaan baru yang mana akan terbuka kepada semua kaum bagi tidak menampakan diskriminasi;
vi. Segala perkara yang mengkhususkan untuk Bumiputera akan dihapuskan; dan
vii. Secara automatik, perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak terguna pakai dan dipinda.
Oleh yang demikian, Patik rakyat Negeri Kedah Darul Aman sekalian berharap KDYMM Tuanku dapat memandang serius terhadap perkara ini sekaligus mendesak kerajaan supaya berfikir panjang dan mengambil langkah berhati-hati seperti:-
i. Mengkaji dan membuat rujukan berkenaan kesan ICERD terhadap sistem perundangan Malaysia;
ii. Mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Ini kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidangkuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri yang terlibat;
iii. Jika Malaysia meratifikasi ICERD, perkara ini harus dibahas secara telus dan terbuka di Parlimen.
Sesungguhnya pantang anak Melayu untuk menderhaka kepada Raja dan keluhuran Perlembagaan. Kedua-dua perkara ini terlalu mulia untuk dipersendakan dan diperlekehkan. Institusi Raja yang mempunyai kekebalan undang-undang, wajar dihormati sebagai payung mahkota rakyat. Raja diangkat darjatnya oleh Allah S.W.T. sebagai khalifah di mukabumi ini dengan segala kemuliaan dan keistimewaan untuk disanjungi, memelihara agama Allah, sebagai khalifah Allah di mukabumi, selain menjadi pelindung kepada seluruh rakyat yang bernaung di bawah kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Maka dengan rasa penuh kesedaran dan tanggungjawab, Patik rakyat Negeri Kedah Darul Aman sekalian membantah sebarang percubaan untuk mengesahkan Konvesyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) oleh mana-mana pihak di Negara ini serta menolak sekeras-kerasnya langkah-langkah untuk memberiu justifikasi terhadap Konvensyen tersebut.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun, merafak sembah takzim Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sudilah apakiranya mengangkat memorandum ini bagi pertimbangan Majlis Raja-Raja supaya Majlis Raja-Raja dapat membuat ketetapan menasihati kerajaan dan menolah penuh ratifikasi ini tanpa pertimbangan.
Sekian, wassalam.
Patik sekalian pacal yang hina;
PEMUDA UMNO KEDAH, DEWAN PEMUDA PAS, NGO-NGO ISLAM DAN MELAYU Hubungi pencipta petisyen
Pengumuman dari pentadbir laman web iniKami telah menutup petisyen ini dan kami telah menghapuskan maklumat peribadi penandatangan.Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR) memerlukan alasan yang sah untuk menyimpan maklumat peribadi dan maklumat tersebut harus disimpan untuk masa yang paling singkat. |