Petisyen Untuk Pihak Shopee Pertimbangkan Kembali Dasar Pemulangan 15 Hari Tanpa Sebab & COD (Cash On Delivery)
Kami ingin menyatakan tentang isu-isu yang melibatkan platform e-dagang Shopee di negara kita. Terutamanya, kami ingin membicarakan mengenai dasar-dasar yang dikenakan oleh Shopee Malaysia yang telah menyebabkan ketidakpuasan dan kesulitan kepada penjual seperti kami.
Satu isu utama yang perlu ditangani ialah memaksa penjual menggunakan pembayaran tunai semasa penghantaran (COD) secara automatik serta dasar pemulangan dalam masa 15 hari tanpa sebab. Dasar-dasar ini tidak hanya membatasi kebebasan dan hak penjual untuk membuat pilihan pembayaran yang sesuai, tetapi juga memberi peluang kepada pembeli untuk menyalahgunakan dasar pemulangan yang menyebabkan kerugian kewangan kos operasi kepada penjual.
Kami percaya bahawa dasar-dasar ini melanggar undang-undang perlindungan pengguna dan peraturan kontrak komersial di negara kita. Secara spesifik, dasar-dasar ini memberikan keutamaan kepada pembeli sambil mengabaikan hak dan kepentingan penjual. Ini bukan sahaja tidak adil, tetapi juga merugikan perniagaan penjual.
Tujuan utama petisyen ini adalah memungut suara keluh kesah penjual yang terkesan dengan dasar pemulangan 15 hari tanpa sebab serta dasat COD e-dagang Shopee. Kami ingin memohon agar pihak Shopee Malaysia mempertimbangkan kembali dasar pemulangan 15 hari tanpa sebab dan COD untuk memastikan keadilan dan kepentingan semua pihak terpelihara. Kami berharap tindakan segera diambil untuk menangani isu ini dan memastikan keadilan di dalam industri e-dagang.