BANTAHAN PENUTUPAN JALAN MASUK KE PELANGI DAMANSARA, PELANGI SQUARE & PELANGI SENTRAL
Merujuk kepada perkara di atas, kami, peniaga-peniaga dan penghuni-penghuni di kawasan Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral ingin menyatakan bahawa pihak kami tidak bersetuju dengan keputusan MBPJ untuk menutup laluan masuk lampu isyarat ke Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral.
2. Sebelum ini, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah melakukan kajian dengan melaksanakan penutupan beberapa kali terhadap laluan tersebut namun kita semua sedia maklum bahawa kajian dan penutupan jalan yang dilakukan sebelum ini TIDAK DAPAT MENGURANGKAN KESESAKAN ALIRAN TRAFIK dari Kota Damansara dan sebaliknya.
3. Untuk makluman Y.Bhg. Datuk, Laluan Susur Masuk tersebut merupakan jalan utama peniaga, penduduk setempat, penduduk sekitar dan orang awam untuk ke kediaman dan melakukan aktiviti harian/runcit mereka. Kawasan ini merupakan kawasan perniagaan yang telah berkembang pesat sejak dari awal pembinaan dahulu. Dalam kawasan ini juga terdapat 1 Kawasan Industri Perniagaan, 3 buah pangsapuri dan 1 kondominium. Penutupan jalan tersebut akan mejejaskan kehidupan harian penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga sekitar.
4. Pihak kami ingin menyuarakan bantahan kami terhadap rancangan penutupan Jalan Susur Masuk Lampu Isyarat ke Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral atas alasan-alasan berikut:
(a) Jalan Susur Masuk Lampu Isyarat ke Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral Merupakan Jalanraya Utama Memasuki Kawasan Zon Perniagaan Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral.
Pada masa ini, jalan tersebut merupakan jalan utama untuk masuk ke dalam kawasan Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral.
(b) Gangguan kepada Penduduk Sekitar & Pengguna Awam
Sekiranya Jalan Susur Masuk tersebut ditutup, pengguna-pengguna akan terpaksa membuat satu litaran yang jauh kehadapan dari Palm Spring untuk membolehkan mereka memasuki Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral. Untuk makluman pihak tuan, keadaan lalu-lintas tersebut amat sesak setiap hari, terutamanya segmen pagi dan petang.
(c) Pendapatan Perniagaan akan Terjejas
Penambahan jangka masa untuk memasuki Kawasan Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral juga akan turut menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga yang berniaga di sini dan situasi paling tidak diingini adalah peniaga-peniaga ini dipaksa untuk memindah ke tempat lain untuk berniaga kerana penutupan jalan dan terpaksa membuat pusingan U-Turn yang jauh akan menjejaskan pendapatan mereka.
(d) Kesesakan Jalan Adalah Berpunca Dari Persimpangan Jalan Susur Masuk Ke Sunway Giza dan Tropicana Garden Mall.
Kesesakan Jalan Off Persiaran Surian adalah berpunca dari Jalan Susur Masuk Lampu Isyarat ke Sunway Giza dimana kita semua dapat lihat selepas dari Shell Persiaran Surian akan berlaku kesesakan jalan HANYA KERANA pengguna memperlahankan kenderaan kerana pengguna kenderaan lain hendak ke kiri memasuki Tropicana Garden Mall dan ke kanan memasuki Sunway Giza menggunakan susur tersebut. Menurut pandangan kami Unit Perancangan Bandar MBPJ Adalah SANGAT GAGAL DAN CUAI kerana membuat laluan tersebut kerana TIDAK SAMPAI 100 METER dihadapan ada U-Turn yang disediakan. DAN INILAH PUNCA UTAMA KESESAKAN JALAN OFF PERSIARAN SURIAN DARI KOTA DAMANSARA DAN ARAH SEBALIKNYA.
5. Justeru, kami ingin meminta jasa baik Y.Bhg. Dato untuk menarik balik keputusan penutupan Jalan Susur Masuk Lampu Isyarat Pelangi Damansara, Pelangi Square & Pelangi Sentral
Sekian, terima kasih.
footPRint Hubungi pencipta petisyen